08 Februari 2016

Cara penyimpanan dan penjagaan duit syiling.



Ramai di luar sana sedang menyimpan dan cuba mengumpul duit syiling tanpa sedar cara penyimpanan yang betul. Kegagalan menyimpan dengan cara yang betul dan sesuai hanya akan menghadirkan kekecewaan setelah satu jangka masa.

Sekiranya anda ingin atau telah bersedia menjadi seorang "numismatis" maka perkara asas yang perlu anda mengetahui adalah cara penyimpanan dan penjagaan yang betul. Ramai akan berfikir ianya memakan kos yang tinggi tetapi anda mampu melakukan mengikut kemampuan masing-masing. Saya masih percaya bahawa pengetahuan dan ilmu numismatik mampu selamatkan para numismatis daripada pembaziran.

Asas penyimpanan dan penjagaan akan menjadi satu kewajiban bagi syiling-syiling dengan kondisi terbaik/tertinggi agar nilai numismatiknya tidak terjejas kerana kecuaian penjagaan. Kegagalan untuk menyimpan dan menjaga duit syiling akan terdedah kepada dua ancaman penting iaitu sentuhan dan pencemaran.

Sentuhan akan mewujudkan tanda dan bukti pada duit syiling bahawa ianya pernah bersentuhan pada objek lain dengan menonjolkan tanda-tanda sentuhan, kecalaran dan kehausan pada duit syiling.

Pencemaran pula akan mewujudkan berbezaan warna, kesan kekotoran  dan pengetonan pada duit syiling.  Semburan air liur anda pada duit syiling sahaja sudah mencukupi untuk mencemarkan duit syiling anda.

Kedua-dua kesan daripada ancaman tersebut akan kekal abadi pada syiling tersebut. Maka cara terbaik adalah untuk mengelak ianya daripada terjadi.


Berikut adalah beberapa tips penjagaan :



1) Jangan sentuh atau pegang permukaan duit syiling dengan tangan kosong. Kemungkinan tangan/jari anda berminyak atau memiliki bahan kimia lain di mana ianya mampu melekat pada permukaan duit syiling. Kesan sentuhan ini akan menjadi abadi dan anda akan gagal untuk menghilangkannya. Sebaiknya menggunakan sarung tangan kapas (cotton) atau peralatan khas (tweezers) untuk memegang duit syiling.

Pastikan anda kerap mengeluarkan koleksi syiling anda untuk dilihat dan dipantau. Ini akan membantu anda untuk mengesan sebarang pencemaran/kerosakan pada peringkat awal agar ianya mampu diselamatkan (restoration).


2) Jangan mencuci atau mengkilatkan (polish) duit syiling. Ramai pendatang baru biasanya melakukan kesalahan ini. Bagi mereka semua benda yang tidak cantik atau kotor boleh dibersihkan dengan mencucinya. Tugas saya di sini adalah untuk menyedarkan bahawa bahan koleksi akan hilang nilai numisamtik apabila anda telah menghilangkan kondisi asalnya dengan membersihkannya.

Bayangkan duit syiling anda seperti air. Mampukah anda membersihkan air dengan mencucinya? Sudah pasti tidak kerana air tersebut akan menjadi lebih kotor dan keruh. Namun air boleh dibersihkan sekiranya anda tahu caranya tetapi yang pasti air tidak boleh dicuci untuk membersihkannya!


3) Jangan biarkan duit syiling bersentuhan dengan objek keras. Ianya akan meninggalkan kesan sentuhan dan kesan calar. Kesan sentuhan dan calar pada permukaan duit syiling akan menurunkan kondisi/kualiti sesuatu duit syiling seterusnya akan menjatuhkan nilai numismatiknya.

4) Jangan biarkan sebarang  cecair terkena mahupun membasahi duit syiling. Seperti kita semua sedia maklum, semua cecair di dalam dunia ini bersifat pasti iaitu sama ada bersifat asid atau alkali. Asid dan alkali adalah bahan kimia yg mampu bertindakbalas dengan mana-mana logam dengan kehadiran oksigen. Proses ini disebut sebagai pengoksidaan dan pengoksidaan  logam adalah bersifat Bes. Bes bertindak balas dengan asid untuk menghasilkan air dan garam. Semua ini akan terjadi secara berperingkat berserta amat perlahan dan akhirnya merosakan kondisi dan penampilan duit syiling tersebut. Pastikan bahan koleksi anda bebas daripada udara lembab dan perlu disimpan di tempat yang kering.




5) Album Syiling - Anda boleh membeli album duit syiling mengikut kemampuan atau kesesuaian anda dan simpan duit syiling anda berasingan mengikut poket yang disediakan.


6) Coin Holder - Coin Holder adalah salah satu pilihan masa kini untuk mengasingkan syiling pilihan kita daripada bersentuhan dengan syiling lain.


7) Coin Capsule - Coin Capsule adalah pilihan tepat untuk menyimpan syiling bernilai tinggi sebab ianya bersifat kedap udara dan mampu menyelamatkan syiling daripada bersentuhan dengan objek lain.


8) Simpan mengunakan bekas/bahan plastik yang TIDAK mengandungi PVC

Kepada anda yang inginkan alternatif lebih mudah dan murah, anda boleh asingkan duit syiling anda dengan menyimpannya di dalam beg plastik dan tempatkan di dalam bekas plastik. Namun harus diingat bahawa anda harus HINDARI bahan plastik yang mengandungi PVC. (Biasanya semua plastik yang digunakan untuk menyimpan bahan makanan/ubat-ubatan TIDAK mengandungi PVC).

Semua bekas plastik mampu memerangkap kelembaban yang hadir di dalamnya. Kelembaban tersebut akan bertindak balas sekiranya plastik tersebut memiliki PVC dengan membebaskan gas berasid. Gas berasid inilah akan memusnahkan kondisi dan kualiti syiling anda.



Anda boleh melihat pada kod bekas plastik tersebut di mana di bahagian bawah biasanya tertulis dengan kod plastik yang digunakan. Bahan plastik yang mengandungi PVC akan dicop dengan kod nombor 3 dan abjad V atau PVC.

Andai kata tiada cop kod plastik maka anda boleh mengunakan cara berikut untuk menguji sendiri sama ada bahan plastik yang anda miliki itu mengandungi PVC atau tidak:-

  • Dapatkan dawai halus  tembaga tanpa sebarang pembalut dan panaskan pada api dapur sehingga panas kemerahan.
  • Sentuh hujung dawai tersebut dengan bahan plastik yang ingin diuji dan kembalikan hujung dawai tersebut kepada api dapur.
  • Sekiranya  api pada hujung dawai bertukar menjadi warna biru-hijau maka plastik tersebut mengandungi PVC.
  • Sekiranya anda melihat api berwarna kuning, maka bahan plastik tersebut bebas dari PVC dan selamat untuk menyimpan bahan numismatik anda.

9) Simpan duit syiling anda di dalam bekas kedap udara. Bekas kaca yang berkedap udara adalah yang terbaik namun kos untuk memiliki bekas kaca juga kini sudah mula melambung tinggi. Maka bekas plastik telah dijadikan alternatif.


10) Letakkan Gel Selica di dalam bekas kedap udara anda. Ianya akan membantu menyerap kelembaban yang masih wujud setelah ianya ditutup. Biasanya 1 gram Gel Selica diperlukan utk ruang 1 liter atau 61 inci padu.


11) Simpan di dalam 'Dry Box'. Pilihan ini sudah pasti memakan kos yang tinggi dan pada masa yang sama memberikan kesan maximum. Kepada anda yang rajin mengumpul duit syiling emas, perak dan pruf, Dry box adalah pilihan terbaik sebab ianya mampu kekalkan suhu (20-24 celsius) dan menghalang kelembaban daripada menganggu koleksi anda.


12) 'Grading'kan syiling anda agar ianya selamat di dalam 'slap'. Tips ini boleh diamalkan untuk jenis syiling yang memiliki nilai numismatik tinggi.

Pengawasan bahan koleksi penting di dalam mengumpul dan menyimpan bahan koleksi numismatik. Biarpun semua cara-cara di atas boleh diamalkan untuk menyimpan koleksi anda dengan betul namun tiada jaminan ianya selamat 100%. Sentiasa mengawasi duit syiling anda dari masa kesemasa dengan mengeluarkan dari simpanan dan memeriksanya.

Kepada semua pembaca yang baru berjinak di dalam dunia numismatik, pilihlah mana-mana tips daripada senarai di atas mengikut kemampuan anda. Jika anda memiliki duit syiling specis 'rare' atau duit syiling yang memiliki nilai numismatik tinggi, simpanlah di dalam "coin capsule", ianya bukanlah mahal sangat tetapi pilihan bagus sebab ianya  mampu menjaga permukaan syiling daripada sebarang sentuhan.

Memburu, membeli dan memiliki sesuatu duit syiling dengan nilai numismatik tinggi tidak akan menjanjikan apa-apa sekiranya duit syiling tersebut tidak disimpan dan dijaga dengan betul. Seorang numismatis wajib mengetahui dan mengamalkan cara penyimpanan dan penjagaan yang betul. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...