04 Julai 2016

Encik Abdul Rasheed dilantik Timbalan Gabenor Baharu BNM


Encik Shaik Abdul Rasheed bin Abdul Ghaffour
Timbalan Gabenor  BNM
Encik Shaik Abdul Rasheed bin Abdul Ghaffour telah diumumkan sebagai Timbalan Gabenor untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 16 Julai 2016 oleh Bank Negara Malaysia.

Timbalan Gabenor baharu dilantik, Encik Abdul Rasheed akan bertanggungjawab bagi pengawalseliaan dan pembangunan sektor kewangan termasuk sistem pembayaran di samping pengurusan rizab antarabangsa dan operasi pasaran wang serta pentadbiran pertukaran asing.

Encik Abdul Rasheed kini merupakan Penolong Gabenor yang bertanggungjawab bagi sektor Dasar Monetari dan Ekonomi yang terdiri daripada Jabatan Dasar Monetari, Jabatan Ekonomi, Jabatan Antarabangsa dan Jabatan Perkhidmatan Statistik di Bank Negara Malaysia. Encik Abdul Rasheed ialah ahli Jawatankuasa Pengurusan Bank dan ahli jawatankuasa bagi beberapa jawatankuasa dasar iaitu Jawatankuasa Dasar Monetari, Jawatankuasa Pengurusan Rizab dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko.

Encik Abdul Rasheed telah berkhidmat di Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Washington D.C. sebagai Pengarah Eksekutif Silih Ganti di Pejabat Kumpulan Asia Tenggara dalam Lembaga Eksekutif IMF. Beliau telah memainkan peranan utama dalam pembangunan dan kejayaan pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan (2001-2010) dan perumusan Pelan Sektor Kewangan (2011-2020). Beliau juga terlibat dalam inisiatif kerjasama serantau semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN termasuk persetujuan Ringkasan Pencapaian ASEAN dan pembangunan Pelan pasca-2015 Integrasi Kewangan ASEAN.

Encik Abdul Rasheed memulakan kerjaya di Bank pada tahun 1988 dan beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya.

Bank Negara Malaysia perlu memiliki tiga orang Timbalan Gabenor seperti yang diperuntukkan oleh Akta Bank Negara Malaysia 2009. Salah seorang Timbalan Gabenor sebelum ini, Datuk Muhammad Ibrahim telah dilantik menjadi Gebonor BNM dan kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Muhammad Ibrahim telah diisi oleh Encik Abdul Rasheed.


Dua timbalan gabenor lain ialah Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dan Dr Sukudhew Singh.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...