Timbalan Gabenor BNM, Datuk Muhammad Ibrahim, dakwat itu akan mengotorkan wang kertas pada pelbagai sudut dan kesannya tidak boleh dihilangkan sekali gus menjadikan wang tersebut tidak lagi sah digunakan.




“Wang yang telah dirosakkan itu juga akan memudahkan pihak berkuasa mengesan dan menjalankan siasatan terhadap sebarang kes cubaan merosakkan atau merompak mesin-mesin ATM. Pada masa sama, pemilik-pemilik wang kertas yang dirosakkan itu seperti perbankan boleh menukar wang-wang kertas itu kepada yang baharu di BNM,” katanya dalam ucapan pelancaran teknologi itu di sini hari ini.



Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ko­mersial Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Mortadza Nazarene dan Pengerusi Persatuan Bank-Bank Malaysia, Datuk Abdul Farid Alias.

Tahun lalu, berlaku kejadian beberapa bank di Se­langor, Melaka, Johor dan Kuala Lumpur mengalami kerugian jutaan ringgit apabila satu sindiket didalangi warga Amerika Latin menggodam mesin ATM sehingga berjaya mengeluarkan wang tunai. Siasatan polis mendapati kumpulan penjenayah tersebut memasukkan sejenis virus dikenal sebagai ulssm.exe yang mampu menggodam sistem ATM.
Kata Muhammad, pengenalan Teknologi Hakisan Dakwat itu diharapkan dapat meningkatkan tahap keselamatan sistem kewangan negara dengan penggunaan ciri-ciri keselamatan berteknologi tinggi di mesin-mesin ATM serta wang-wang kertas tempatan.

“BNM akan menjalankan pelbagai kempen bagi menguar-uarkan perkembangan teknologi ini dan mendidik masyarakat mengenainya. Perlu dimaklumkan, memiliki wang-wang kertas yang mempunyai kesan dakwat hasil rompakan adalah satu kesalahan,” katanya.

Tambah beliau, BNM turut melancarkan aplikasi telefon pintar My Ringgit, iaitu aplikasi yang akan memberi pendedahan kepada orang ramai untuk mengesan secara mudah sama ada wang kertas yang mereka miliki palsu atau tidak.

Bagaimanapun katanya, kes-kes wang palsu di negara ini masih berada pada tahap yang rendah iaitu hanya dua daripada sejuta keping berbanding kadar purata 48 hingga 100 daripada sejuta keping di negara membangun.

Katanya, hal itu hasil kesan penggunaan teknologi yang canggih untuk penghasilan wang kertas atau syiling Malaysia.

“Jika ada pun berlakunya edaran wang palsu, hal itu berlaku mungkin disebabkan mangsa terlalu sibuk atau tidak mengendahkan kepentingan untuk mengesan wang yang dimiliki mereka itu palsu atau tidak,” katanya.

Sumber Berita Asal : Utusan Malaysia