27 Mac 2015

Fakta berkait 10 SEN 1971 dengan Banjir Besar di Kuala Lumpur.

10 SEN 1971 - Siri Pertama
Jumlah Tempaan : 32,236 Keping
Banyak soalan dan misteri masih menjadi carian dan kajian di dalam dunia numismatik Malaysia. Ramai telah mengkaji dan saya pasti mereka telah terjumpa dengan banyak maklumat namun ianya tidak dibukukan atau dicatitkan bagi tujuan perkongsian mungkin atas sebab tiada kelengkapan seperti pada hari ini. 

Ada juga kemungkinan mereka sengaja relakan maklumat yang telah ditemui itu terus menjadi rahsia demi kebaikan bersama?. Ada kalanya lebih baik memilih untuk terus membisu daripada bersuara kerana bukan semua kebenaran mampu diterima oleh semua orang.

Saya pernah terbaca kisah kenapa duit syiling 10 SEN 1971 ditempa dengan kuantiti amat sedikit (32,236 Keping) dan ada versi yang mengaitkannya dengan banjir besar yang melanda Kuala Lumpur pada tahun 1971.

Sebelum ini, saya sendiri memilih versi Banjir 1971 sebagai faktor kenapa jumlah tempaan 10 SEN 1971 amat sedikit. Tetapi, setelah saya melakukan beberapa kajian dan pencarian, saya mendapati versi banjir tidak boleh dikaitkan dengan tempaan 10 Sen 1971.


Berikut adalah penemuan di dalam kajian dan pencarian saya.

Banjir Besar menenggelamkan Kuala Lumpur selama seminggu sekitar :

4hb Januari 1971.

Keratan akhbar The Straits Times bertarikh 6 Jan 1971 (Pic)


Kilang Wang Bank Negara pula mula beroperasi dan mengeluarkan duit syiling pertamanya pada :
1hb Mei 1971.


dan

Kilang Wang Bank Negara dibuka secara rasmi pada 10 Julai 1971
Tun Ismail membantu Tun Tan Siew Sin di Majlis Pembukaan rasmi 
Kilang Wang Bank Negara pada 10 Julai 1971.

Catitan Arkib Negara

PERASMIAN PEMBUKAAN KILANG WANG BANK NEGARA
Posted by hasfiza on 15/11/2011 09:47:11

Pada hari ini dalam tahun 1971, Kilang Wang Bank Negara yang terletak di Batu Tiga, Shah Alam telah dirasmikan pembukaannya. Upacara perasmian dilakukan oleh Menteri Kewangan, Tun Tan Siew Sin. Turut hadir di upacara ini ialah Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ismail bin Mohamad Ali serta lain -lain jemputan khas. Bangunan kilang wang ini pada mulanya adalah merupakan pejabat mata wang Bank Negara. Ia kemudiannya telah diubah suai menjadi kilang wang dengan mendapat nasihat dari pakar-pakar luar negeri. Bagi melicinkan perlaksanaan perancangan kilang ini, pihak bank juga telah membentuk satu jawatan khas bagi mengatasi masalah yang timbul berkaitan dengan pengambilan kakitangan, latihan dan pemilihan alat-alat yang diperlukan oleh kilang ini. Sebagai percubaan, kilang  ini telah berjaya mengeluarkan wang syilingnya yang pertama seperti yang dijadualkan pada 1hb Mei 1971. Apabila ia dilancar sepenuhnya, kilang ini mampu mengeluarkan sebanyak 70 juta keping wang syiling setahun. Sesungguhnya penubuhan kilang wang yang dirasmikan pembukaannya pada hari ini dalam tahun 1971, adalah merupakan peristiwa sejarah bagi Bank Negara Malaysia. Ia bukan hanya dapat mengatasi masalah kekurangan syiling di negara ini, tetapi ia juga telah membuka lebih banyak peluang-peluang pekerjaan. Malah dengan penubuhannya juga Malaysia telah dapat menjimatkan pertukaran wang asing dan membuktikan ketinggian  mutu kecekapan pekerja-pekerja mahir di bidang teknikal di negara ini. 


Bagaimana banjir yang terjadi sekitar 4hb Januari 1971 mampu memberi kesan pada Kilang Wang Bank Negara yang berjaya memulakan operasinya pada 1hb Mei 1971?

Fakta dari keratan surat khabar dan dari Arkib Negara di atas membuktikan bahawa tiada kaitan antara 10 Sen 1971 dengan banjir pada tahun 1971.

Jadi apakah punca dan kemungkinan yang mampu dipertikaikan atau dikaitkan dengan kuantiti terendah di dalam sejarah penempaan duit syiling oleh Bank Negara Malaysia?

A = Mesin/Die Rosak?
B = Tiada Bahan (blank)?
C = Tiada kelulusan untuk duit edaran? (kemungkinan besar)
D = Proses peralihan teknologi dari UK ke Malaysia?
E = ?????


Masa untuk anda meneka kemungkinan-kemungkinan A, B, C, D atau E.  Sekiranya anda ada maklumat yang mampu mambantu menyelesaikan misteri 10 Sen 1971, berkongsilah dengan saya.

Akan bersambung.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...