06 November 2014

Sambutan 75 Tahun Taman Negara 1939-2014



Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan duit syiling peringatan sempena ulang tahun Taman Negara yang ke 75. Ianya telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 29hb Oktober 2014 di Kuala Tahan, Taman Negara. 

Duit syiling peringatan tersebut ditempa dan diedarkan oleh Bank Negara Malaysia dan akan mula dijual pada 28 November 2014 di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (MAG) dan pejabat wilayah/cawangan di:
  • Pulau Pinang
  • Johor Bahru
  • Kuala Terengganu
  • Kota Kinabalu
  • Kuching

Taman Negara Malaysia merupakan hutan simpananan yang terkemuka di Malaysia. Taman Negara adalah destinasi pelancongan yang terkenal bagi pencinta flora dan fauna bukan sahaja dari di dalam negara mala dari luar negara juga. Ianya juga merupakan salah satu hutan hujan tropika tertua di dunia dan terkenal sebagai habitat bagi kira-kira 150 spesies mamalia, 53 spesies ikan, 479 spesies burung dan lebih daripada 3,000 spesies tumbuh-tumbuhan. 

Duit syiling peringatan  Sambutan 75 Tahun Taman Negara 1939-2014 telah dikeluarkan dengan 3 variasi. Berikut adalah spesifikasi bagi ketiga2 variasi tersebut:


  1. Duit Syiling Peringatan Emas pruf (500 keping)
    Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 99.99 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan harga jualannya RM1,800 sekeping.

  2. Duit Syiling Peringatan Perak Berwarna pruf (2000 keping)
    Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan harga jualannya RM200 sekeping. 

  3. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic (25,000 keping)
    Nilai muka duit syiling emas nordic ini ialah RM1 dan harga jualannya RM10 sekeping.
PENTING: Emas Nordic tidak memiliki elemen Emas sebenar. Emasnya hanya pada nama sahaja. Emas Nordic adalah campuran 89% Tembaga,5% Zink, 1% Aluminium dan 1% Timah. 

Duit syiling peringatan tersebut juga boleh didapati dalam bentuk Set seperti berikut:
  1. 3 dalam 1 (750 set)
    Set 3 dalam 1 mengandungi duit syiling pruf emas, perak berwarna dan emas nordic pruf. Set ini akan dijual pada harga RM2,100.
  2. 2 dalam 1 (750 set)
    Set 2 dalam 1 mengandungi duit syiling perak berwarna dan emas nordic. Set ini akan dijual pada harga RM250.
Reka Bentuk Duit Syiling
Berikut ialah butiran yang terdapat pada duit syiling peringatan - Sambutan 75 Tahun Taman Negara 1939-2014
  1. Bahagian Hadapan
    Pada bahagian tengah duit syiling peringatan ini terdapat imej Pantera Tigris Jacksoni iaitu spesies harimau yang hanya ditemui di Taman Negara . Banjaran Tahan dan pokok Keruing Neram yang terdapat di sepanjang Sungai Tahan menjadi latar belakang duit syiling. Lavistonia Tahanensis, sejenis palma yang ditemui hanya di kawasan Banjaran Tahan, pula dipaparkan pada bahagian bawah kanan duit syiling. Perkataan “SAMBUTAN 75 TAHUN TAMAN NEGARA” tertera pada bahagian atas duit syiling dan tahun “1939-2014” yang menandakan ulang tahun yang ke-75 dipaparkan pada bahagian bawah duit syiling tersebut.
  2. Bahagian Belakang
    Pada bahagian tengah duit syiling peringatan ini tertera peta Semenanjung Malaysia dengan garisan sempadan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang ditebalkan untuk menunjukkan kawasan Taman Negara. Bahagian yang berlorek menunjukkan lokasi sebenar Taman Negara. Perkataan “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan ini dipaparkan pada bahagian atas duit syiling manakala nilai muka duit syiling ini tertera pada bahagian bawah duit syiling tersebut.

20 Oktober 2014

BR10 adalah Error Buatan Manusia?




Wang kertas Terbaru RM10 siri ke 12 yang memiliki bunga Refflesia berwarna hitam dibahagian belakang wang kertas dikenali dengan nama 'BR10' (BLACK REFFLESIA RM 10). Ianya dijual dengan harga tinggi berbanding nilai muka kononnya ianya adalah sejenis error. 

Ciri-ciri pelik yang terdapat dan berkait dengan BR10

  • Sebahagian muka Agong di bahagian hadapan note lebih kehitaman
  • Seluruh bunga Refflesia kecil di bahagian belakang note kehitaman
  • BR10 banyak dijumpai di Sabah, negeri tuan punya bunga terbesar dunia di Malaysia.
  • Belum dijumpai dengan kondisi UNC
  • BR10 kononnya hanya dijumpai di dalam edaran
  • kondisi comot dan telah dicuci.
Pada mulanya beberapa orang berpengalaman yang saya temui telah memberi pandangan dan membangkitkan soalan-soalan seperti berikut :
  • Bukan error tetapi perbuatan manusia.
  • Bukan terjadi di dalam kilang.
  • Kelihatan wujud reaksi kimia apabila dibesarkan pada skala 600x dengan microskop digital.
  • RM10 siri 12 tidak menggunakan dakwat berwarna hitam.
  • Kenapa banyak ditemui di Sabah?
  • Kenapa belum ada sesiapa yang jumpanya dengan kondisi UNC?
Ketika ianya masih di dalam kajian, saya mendapat peluang untuk memiliki sekeping. Biarpun harganya tinggi tetapi terpaksa membeli untuk melihat sendiri bagaimana dakwat hitam memenuhi bunga Refflesia tersebut.

bahagian sebalah kanan muka agong kehitaman & Benang keselamatan tidak melekat pada permukaan

Gambar-gambar BR10 di sini adalah milik penjual yang dikongsikan kepada saya. Pejualnya memang berasal dari Sabah. Mengakui kondisinya VF dan tidak memiliki sebarang lubang, koyak atau pun kebocoran (kebocoran?). Kirimannya selamat tiba dan saya dapati ianya memiliki kesan pinhole. Apabila saya cuba menghubunginya, ID facebook sudah tidak aktif (deactivated), gambar dan nama pun telah ditukar. Siapa yang menjual BR10 kepada saya? (Tengah fikir untuk wujudkan ruangan khas bagi penjual-penjual yang bermasalah)

Bunga Refflesia kecil kehitaman
Kondisi BR10 yang saya terima memang di dalam kondisi yang teruk kerana ianya comot dan saya pasti ianya telah dicuci kerana benang keselamatan (security thread) yang kelihatan (bahagian yg tidak kena cetakan) sudah tidak melekat pada permukaan. Mungkinkah ianya hanya kebetulan? 

Setelah beberapa minggu, penjual sama menawarkan BR10 dengan harga lebih murah tapi dengan kondisi GVF. Saya terima tawaran dengan harapan kali ini akan mendapat kondisi yang benar-benar seperti dijanjikan. Tapi sayang, tetap hampir sama kondisinya di mana ianya comot dan telah dicuci dan benang keselamatannya tertanggal (tidak melekat pada permukaan). Jadi saya buat keputusan bahawa BR10 memang perbuatan manusia seperti yang dinyatahkan oleh orang-orang lama. 

Baru-baru ini saya melihat suatu klip video yang membuktikan bahawa BR10 memang perbuatan manusia. Klip video yang panjangnya 17 minit di bawah membuktikan reaksi kimia yang mengubah warna kekuningan bunga Refflesia menjadi kehitaman. 


Mereka yang pernah membeli dan memiliki BR10 seperti saya pasti akan mencari pembeli untuk lepaskan BR10 yang ada di dalam simpanan mereka. Sudah pasti mereka akan berlakon umpama mereka tidak tahu apa-apa atau mengaku BR10 itu adalah baki isi petrol dan sebagainya. Kadang specis macam ini tidak terfikir akan balasan tuhan. 

Terpulang pada diri masing-masing sama ada akan membayar dan membeli BR10 biarpun setelah ianya dibuktikan sebagai kecacatan buatan manusia. Tugas saya untuk menyampaikan maklumat berkait BR10 telah selesai. Harap anda semua akan lebih hati-hati apabila cuba membeli duit syiling atau wang kertas cacat (error).


Berikut adalah tulisan/perkongsian berkait "BR10" oleh numismtis tempatan:


RM10 WITH 'INK DROP' INKING ERROR oleh Dickson Niew


Updated: 21 Jan 2015

24 September 2014

RM1 AAH (Ali Abul Hassan)



Salam numismatik buat semua pembaca. Ini adalah posting pertama saya di blogspot berkait numismatik biarpun telah sekian lama menjadi pengguna dan pembaca di blogspot.com.

Saya ingin memulakan posting pertama saya dengan sesuatu yang sangat menarik perhatian saya sejak kebelakangan ini dalam dunia numismatik tempatan iaitu nota (note) RM1 dengan tanda tangan bekas Gabenor BNM Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan bin Sulaiman. 

Ketika note RM1 ini terkeluar dan terlepas ke edaran pada tahun 2000, mungkin ramai pengumpul tahu akan kewujudannya termasuk saya. Pada tahun 2000 saya masih aktif mengumpul RM5 note-note funcy number sebab RM5 AAH memiliki warna daun kegemaran saya. Namun di atas beberapa faktor dan sebab yang tidak dapat dielakan, saya berhenti menjadi pengumpul duit lama pada hujung tahun 2000 sekali gus terlepas hasrat dan peluang untuk memiliki note RM1 AAH yang ketika itu murah meria sehingga mampu dilihat dijual oleh penjual di kaki-kaki lima di Pulau Pinang.

Nilai Muka   RM1
Tahun         2000
PREFIX       CR 7200001 -CR 7250000*
Gabenor     Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan
Saiz           120mm x65mm

Saya akan berkongsi versi saya berkait RM1 AAH agar pembaca dan pendatang baru mampu memahami kenapa note RM1 AAH menjadi buruan dan idaman setiap pengumpul duit lama termasuk saya.


Berikut adalah apa yang saya tahu dan apa yang saya dapati setelah sekian lama membaca dan mencari fakta berkait RM1 AAH di internet dan perkongsian maklumat dari  orang perseorangan. Sekiranya ada fakta atau maklumat yang tidak tepat, sudi-sudilah hubungi saya untuk memperbetulkannya.


Tiada wang kertas RM1 di dalam edaran sehingga Tahun 2000

Wang syiling siri kedua Malaysia telah diperkenalkan pada tahun 1989 iaitu ketika era Tan Sri Dato' Jaffar bin Hussein (Gabenor BNM 1986-1995). Siri kedua diperkenalkan dengan denominasi 1 sen, 5 sen, 10 sen, 20 sen, 50 sen dan $1. Wang syiling denominasi $1 telah mengantikan note RM1. Setelah syiling $1 luas dipergunakan. Sedikit demi sedikit keluaran wang kertas RM1 dikurangkan dan seterusnya dihentikan. Pada tahun 1993, sedikit perubahan dilakukan pada wang syiling $1 iaitu menukar simbol $1 kepada 1 RINGGIT. Maka terdapat 2 variety pada wang syiling $1 tahun 1993.


Ketika era Tan Sri Dato' Ahmad bin Mohd Don (Gabenor BNM 1995-1998) masih tiada lagi wang kertas RM1 dikeluarkan. Wang syiling 1 RINGGIT masih memenuhi pasaran  dan eradan sehingga tahun 1995.



Wang kertas denominasi RM2 mula diperkenalkan pada tahun 1996 sebagai wang kertas paling kecil nilai mukanya. Edaran dan pasaran mula menggunakan wang syiling 1 RINGGIT dan wang kertas RM2 sebagai medium untuk penukaran nilai kecil. Ini menyebabkan gabenor ke 5 BNM adalah satu-satunya gabenor yang tidak mengeluarkan wang kertas RM1 ketika eranya.


Wang syiling 1 RINGGIT dan wang kertas RM2 terus menguasai edaran dan pasaran ketika era Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan bin Sulaiman (gabenor BNM 1998-1999) sebagai medium penukaran nilai wang kecil tanpa wang kertas RM1 baharu diperkenalkan. Namun wang kertas RM1 siri sebelumnya masih senang kelihatan di dalam edaran sehingga awal tahun 2001.

BNM terpaksa hentikan keluaran wang syiling 1 RINGGIT pada tahun 1996 atas beberapa sebab seperti faktor keselamatan (syiling palsu) , kos simpanan (ruang besar untuk nilai sedikit) dan kos pengiriman (pengangkutan). Maka wang syiling $1 dan 1 RINGGIT tempaan dari tahun 1989 hingga 1996 ditarik balik dari edaran dan telah dinyah wangkan.  

Y.M. Tan Sri Dato' Ungku Dr. Zeti Akhtar binti Ungku Abdul Aziz mengambil alih jawatan sebagai Gabenor yang ke 7 BNM pada bulan Mei 2000. Setelah sekian lama, denominasi wang kertas RM1 dengan tanda-tangan Dr.Zeti Aziz diperkenalkan pada November 2000 iaitu  6 bulan setelah persaraan gabenor Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan. 

Pada ketika inilah terjadi sesuatu yang masih menjadi rahsia dan tanda soal di dalam dunia numismatik negara. Bagaimana boleh wujud wang kertas RM1 yang ditanda tangani oleh bekas Gabenor AAH yang telah bersara untuk 6 bulan. Ada kemungkinan di mana wang kertas RM1 AAH telah dicetak dan disimpan sebelum Dr.Zeti mengambil alih jawatan daripada Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan. Walaubagaimanapun wang kertas RM1 AAH adalah wang kertas asli keluaran BNM. 

Saya telah cuba siasat dan periksa jika prefix CR adalah crossover atau sinambungan dari era Tan Sri Dato' Jaffar bin Hussein di mana kali terakhir wang kertas RM1 digunakan. Namun pencarian dan kajian saya mendapati prefix  RM1 ketika era Tan Sri Dato' Jaffar adalah CA (prefix pertama) hingga HJ (prefix terakhir) dan BA adalah note gantian. Sedangkan RM1 yang mula diedarkan pada tahun 2000 bermula dengan prefix AA dan berakhir dengan prefix AGP. Wang kertas RM1 AAH yang dijumpai adalah dengan prefix CR. Bagaimana tiba-tiba terjadi penukaran tanda-tangan? Pihak BNM sudah pasti tidak akan memberikan maklumat ataupun akan membincang berkait perkara tersebut. Maka kita hanya mampu memikirkan dan meramalkan kemungkinan yang telah terjadi. 

Ada kebarangkalian ianya tersalah cetak oleh pencetak (printer) sebab kemungkinan besar kakitangan pencetak tidak sedar akan tanda tangan baharu(Zeti Aziz). Jika tidak salah saya, tanda-tangan adalah lapisan (layer) terakhir di dalam proses percetakan wang kertas (Malaysia) sebelum diakhiri dengan cetakan nombor siri. Jika ianya adalah benar maka wang kertas RM1 AAH adalah error note dengan tanda tangan yang salah.  Ini disokong oleh angka terlalu besar bagi keluaran note gantian bagi siri wang kertas RM1 Zeti Aziz.

Kebarangkalian lain yang boleh terjadi adalah di mana wang kertas RM1 AAH telah pun dicetak atau sedang dicetak ketika proses penukaran gabenor terjadi. Ianya tidak diedarkan dan disimpan untuk dimusnahkan. Seterusnya wang kertas baharu dengan tanda-tangan Dr.Zeti Aziz 
dicetak dan disimpan di dalam bilik setor yang sama di mana wang kertas AAH ditempatkan. Setelah itu terjadi kesilapan di mana wang kertas RM1 AAH telah tercampur dan tersalah diedarkan ke cawangan-cawangan BNM untuk diagihkan kepada bank. Setelah pihak BNM telah sedar akan kesilapan tersebut maka arahan supaya menarik balik kesemua note RM1 AAH dikeluarkan. Walaubagaimanapun, 50 brick (50,000 keping) note RM1 AAH telah terlepas masuk ke dalam edaran di negari Pinang. 

50,000 note inilah kini menjadi buruan para pengumpul duit lama. Yang pasti pihak BNM akan menarik setiap keping yang kembali kepada mereka. Maka angka 50,000 adalah sekadar perhitungan mengikut prefix dan brick sahaja sebab sudah pasti pihak BNM telah menarik dan menahan sebanyak yang mungkin agar ianya tidak menjadi bebenan bagi mereka. Angka 50,000 bagi wang kertas RM1 boleh dikatakan RARE bagi Malaysia yang memiliki 27 juta penduduk ketika itu. 

Setelah membuat kajian dan memiliki bukti dan fakta  di dalam talian, maka saya berani meramalkan  no siri note RM1 AAH yang terlepas ke dalam edaran adalah dari CR7200001 hingga CR7250000. Ini kerana setiap stack memiliki 100 keping note dan setiap brick memiliki 1000 keping note iaitu 10 stack. Maka setiap stack harus bermula dgn no ??xxxx001 hingga ??xxxxX00. Berdasarkan pada gambar-gambar dan no siri yang mampu dilihat di internet, saya mampu meramal bahawa:
  • 1st prefix*   CR7200001
  • Last Prefix* CR7250000
*yang terlepas dan dijumpai dalam edaran


Nombor paling besar yg pernah dimuat naik dan dijumpai  dengan bantuan carian google adalah CR724997X. Sepatutnya note tersebut dari stack  terakhir iaitu bersiri CR7249901 hingga CR7250000 dan stack tersebut patut memiliki beberapa fancy number seperti berikut;


CR7250000
CR7249999
CR7249994
CR7249900
CR7249911
CR7249922
CR7249933
CR7249944
CR7249955
CR7249966
CR7249977
CR7249988


Kita mungkin mampu mengitung berapakah jumlah wang kertas RM1 AAH yang dimiliki dan disimpan oleh para pengumpul duit lama. Namun tiada siapa tahu akan sisa note yang masih bebas bertukar tangan tanpa disedari. Saya masih memiliki keyakinan bahawa akan berjumpa dengan sekeping dari sisa yang masih bebas dalam edaran tersebut. Anda juga masih memiliki peluangnya. Ayuh, cari dan selamatkan warisan kita agar ianya tidak hilang ditelan aliran masa. Sesungguhnya wang lama adalah bukti sejarah yang harus dan wajib dijaga dan dipertahankan .

Benarkah RM1 CR AAH adalah wang keluaran BNM?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...