Sepertimana yang telah kita sedia
maklum, Pihak Bank Negara Malaysia telah mengadakan jualan duit syiling peringatan
100 Tahun Industri Minyak Sawit Malaysia pada 9
Ogos 2017.
Ianya adalah duit syiling peringatan
pertama bagi tahun 2017 serta ada kenangan menarik disebalik proses
penjualannya yang perlu direkodkan demi mampu dijadikan rujukan dan
perbandingan bersama.
Berikut adalah sedikit perkongsian
daripada saya untuk tatapan semua.
Saya sampai di Sasana Kijang
sekitar 8 pagi dan mendapati persekitarannya tidak seperti sebelumnya. Keadaan
di Sasana Kijang agak tenang tanpa sebarang barisan dan tidak kelihatan
kumpulan-kumpulan numismatis (collectors).
Saya berjalan mengikut tanda arah
dan akhirnya sampai ke lobi Auditorium. Di sini saya dibekalkan dengan
"hand Band" bernombor 0080 dan seterusnya diarah ke meja pendaftaran.
Di meja pendaftaran, saya ditanya
berkait apakah jenis duit syiling yang ingin saya miliki daripada 3 pilihan
seperti berikut:-
- · Set 2 dalam 1 x 1 unit
- · Single Silver x 1 unit
- · Coin Card x 3 unit
Saya memilih ketiga-tiganya
dengan harapan mampu memiliki single silver sebab biasanya sukar untuk
mendapatkan mana-mana keluaran dengan tempaan terhad. Kali ini tempaan single
Silver adalah 700 set berbanding 1300 set 2 dalam 1 dan 13,000 keping coin
card.
Setelah itu saya dibekalkan
dengan sehelai kertas yang memiliki maklumat pengundian awam dan 3 jenis tiket bagi 3 jenis duit syiling yang
bakal dijual pada hari ini. Tiket-tiket ini memiliki 2 bahagian iaitu bahagian
yang perlu disimpan oleh pembeli dan satu lagi bahagian adalah untuk dimasukan
ke dalam kotak pengundian.
Pembeli perlu meninggalkan lobi Auditorium setelah
tiket tersebut diceraikan dan dimasukan ke dalam kotak pengundian.
Proses pendaftaran akan berlarutan sehingga pukul 11 pagi. Setelah itu proses pengundian akan dijalan. Senarai nombor tiket akan dipamerkan dan para pembeli boleh melihat keputusan pengundian untuk mengetahui sama ada nombor mereka telah berjaya terpilih di dalam proses pengundian.
Sekiranya nombor tiket mereka ada di dalam senarai pengundian, maka pembeli perlu pergi ke meja pembayaran untuk menunjukan "hand Band" berserta dengan bahagian tiket yang disimpan oleh pembeli untuk menamatkan proses pembelian.
Saya tinggalkan Sasana Kijang
sekitar pukul 9 pagi dan kembali untuk mendapatkan duit syiling peringatan sekitar pukul 3
petang.
Saya terus ke Lobi Auditorium
untuk memeriksa keputusan pengundian dan untuk mengetahui sekiranya saya layak
untuk membeli/memiliki sebarang duit syiling seperti yang telah saya daftarkan
pada pagi tadi.
Saya dikejutkan oleh salah
seorang pegawai yang menanti kehadiran pembeli bahawa tiada pengundian
dijalankan disebabkan jumlah duit syiling di dalam stok adalah melebihi jumlah
pembeli yang telah berdaftar.
Tanpa diduga saya telah memiliki
ketiga-tiga jenis duit syiling seperti yang ditawarkan pada pagi tadi.
Ianya tidak pernah terjadi di
Sasana Kijang sepanjang penglibatan saya untuk beratur mendapatkan duit syiling
peringatan.
Di manakah kesilapan sehingga
keluaran duit syiling peringatan kali ini tiada sokongan dan sambutan?
- Ke mana hilangnya pencinta duit syiling peringatan ketika edisi pertama 2017 dikeluarkan?
- Mungkinkah ianya disebabkan oleh sistem pengundian awam?
- Adakah ianya kerana keadaan ekonomi yang sedang lembab?
Apapun sebab dan punca disebalik
tiada sokongan dan sambutan pada kali ini, yang pasti baki duit syiling yang
tidak terjual pada hari ini akan dijual kepada umum di Galeri Muzium mulai esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan