16 September 2015

Apakah sasaran koleksi anda?



"Numismatik" adalah salah satu perkataan yang semakin menjadi popular dan kedengaran di kalangan rakyat Malaysia sejak kebelakangan ini. Sudah pasti ianya adalah tanda dan penunjuk baik bagi dunia numismatik Malaysia. 

Secara tidak langsung semakin ramai rakyat Malaysia menyedari akan nilai dan warisan numismatik tanah air yang mampu memberi pulangan tinggi jika terlibat secara serius dan positif. Ramai pendatang baru cuba untuk menceburi bidang numismatik dan bersedia untuk mendapatkan ilmu berkaitnya. Mereka kelihatan seperti mendahagakan ilmu dan mengejar item koleksi tanpa arah tuju yang sepatutnya. Mereka tidak tahu bagaimana harus bermula dan apa kah yang harus mereka lakukan sebagai pendatang baru di dalam dunia numismatik.

Pengumpul biasa dan pengumpul serius (hardcore) adalah dua kumpulan pengumpul yang sedang mewarnai dunia numismatik negara. Sekiranya anda merasakan diri anda termasuk di dalam salah satu kumpulan di atas maka anda sudah pasti memiliki album dan bahan koleksi di dalamnya. Sekiranya anda tidak memiliki album dan bahan koleksi di dalamnya maka anda bukanlah seorang pengumpul bahan numismatik.

Seorang pengumpul wajib mempelajari dan mengetahui cara penyimpanan bahan koleksi dengan betul dan selamat. Oleh yang demikian, pastikan anda memiliki album koleksi untuk menyimpan bahan koleksi anda. Saya bukan ingin berkongsi bagaimana cara untuk menyimpan dan menjaga bahan koleksi tetapi ingin berkongsi bahan atau item yang boleh dijadikan bahan koleksi.

Seorang pengumpul perlu tahu tentang apa yang sedang dicari dan diburu di dalam melengkapkan koleksinya. Maksudnya anda harus memiliki sasaran untuk mencari dan melengkapkan 1 set bahan koleksi. Kebanyakan pendatang baru tidak sedar akan sasaran tersebut dan menjadi sesat di dalam numismatik tanpa melengkapkan koleksi.

Berikut adalah senarai bahan2 koleksi yang biasa dijadikan sasaran oleh para pengumpul di dalam arena numismatik tempatan bagi koleksi keluaran Bank Negara Malaysia. 


Sasaran koleksi Duit Syiling

Sekiranya anda telah bersedia dan ingin memulakan salah satu sasaran seperti di atas, sebagai contoh jika anda memilih untuk mengumpul duit syiling mengikut siri maka anda harus mengetahui apakah denominasi dan tahun keluaran yang wujud untuk dicari dan dimasukan ke dalam album. Selagi koleksinya belum penuh dan lengkap  maka jangan mengaku anda telah memiliki koleksi duit syiling mengikut siri.

Sekiranya anda mengakui anda adalah pengumpul duit syiling maka anda wajib memiliki syiling 10 sen 1971 di dalam album. Tiada alasan yang mampu selamatkan anda jika ianya tiada di dalam simpanan anda. Anda pasti akan berdepan dengan keadaan sepertinya bagi semua sasaran koleksi.

Pastikan anda menyimpan satu buku nota bersama album anda. Catitkan segala kisah pahit manis anda berkaitan dengan setiap bahan koleksi yang berada di dalam album tersebut dan jika boleh sertakan dengan gambarnya sekali. Setelah koleksinya telah lengkap, sudah pasti anda akan tersenyum penuh kepuasan setiap kali melihat koleksi tersebut.


Apapun sasaran, yang penting jangan putus asa.Teruskan pemburuan dan jika ada rezeki pasti anda akan menjumpainya di dalam edaran. Jika terpaksa membeli maka simpanlah duit mengikut kemampuan. Biarlah kita mengumpul modal sebanyak RM400-500 untuk jangka masa bertahun untuk membeli sekeping 10sen 1971 daripada mengaku sebagai pengumpul duit syiling yang tidak memiliki 10 sen 1971 di dalam simpanan.

Semua pengumpul harus menjual atau menukar bahan koleksi yang berlebihan di dalam simpanan. Sekiranya anda menjumpai dan memiliki sesuatu bahan koleksi lebih dari 1 keping maka anda boleh menjualnya untuk mendapatkan modal untuk melengkapkan koleksi. Jangan menjadi badut numismatik dengan meminta harga yang tidak masuk akal. Semakin ramai badut numismatik menawarkan diri mereka sebagai penghibur hati para pengumpul di dalam laman www.mudah.my.

Sekiranya anda jenis tidak suka untuk menjual, anda boleh saja memberikan kepada kenalan anda. Jika masih ada koleksi berlebihan setelah memberikan pada kenalan, berikan saja kepada saya :p

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...