Saya memang meminati item koleksi yang berkondisi UNC. Bukan kerana untuk memilikinya tetapi untuk melihat harga semasa jika disertakan sekali di dalam posting. Sebolehnya biarlah item koleksi yang bakal dibeli memiliki kondisi "UNC" bagi jenis yang masih memiliki kuantiti yang banyak di dalam pasaran.
Water mark 'brian' adalah asal di dalam posting. Perkataan "CONTOH" dan "Prefix NY? DUIT PALSU?" adalah apa yang telah saya tambah agar gambar ini tidak disalah gunakan. |
Semalam ketika saya 'berjalan-jalan' sambil mencuci mata di dalam beberapa group facebook, tiba-tiba ada sesuatu yang menarik perhatian saya dengan tajuk posting jualannya yang memiliki perkataan "UNC".
Item yang saya maksudkan adalah 4 keping wang kertas RM1000 era gabenor TS Jaffar Hussein dengan nombor sirinya seakan-akan ianya adalah adik beradik dari stack atau brick yang sama.
Bila saya melihat pada nombor sirinya untuk kali kedua, saya merasa pelik dan terpaksa membuat semakan dari catitan dan rekod saya kerana ianya dengan prefix NY.
Water mark 'brian' adalah asal di dalam posting. Perkataan "CONTOH" dan "Prefix NY? DUIT PALSU?" adalah apa yang telah saya tambah agar gambar ini tidak disalah gunakan. |
Prefix paling senang untuk diingati adalah prefix bagi denominasi RM500 dan RM1000. Ini adalah kerana RM500 hanya memiliki 3 prefix sahaja, manakala RM1000 pula hanya memiliki 4 prefix sahaja. Kesemua prefix RM500 dan RM1000 bermula dengan abjad Z kecuali prefix pertama RM1000 iaitu A/1. (Anda boleh mendapatkan senarai lengkap preifx FLR dari siri 1 hingga siri 10 di sini.)
Jadi dari mana wujudnya prefix NY tersebut? Apakah ianya wang kertas dicetak sendiri atau wang PALSU?? Tetapi penjualnya berani iklankan dan menjualnya di dalam group dengan tajuk "UNC" dan "NY".
Setelah saya sudah mendapatkan kepastian dan yakin prefix NY tidak wujud di dalam rekod dan catitan saya, saya cuba kembali ke posting tersebut untuk menulis komen dan ingin tanya jika ianya adalah wang kertas asli.
Saya gagal untuk mencari balik posting tersebut mungkin kerana telah dipadam oleh admin groupnya. Jika benar, tindakan pihak admin tersebut mampu menyelamatkan pendatang baru.
Apakah anda mampu teka wang kertas RM1000 di dalam gambar di atas adalah wang palsu jika prefixnya adalah ZY?
Berhati-hatilah apabila ingin menambah koleksi lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan item jarang kelihatan dan susah untuk dijumpa seperti specis rare dan error.
Pastikan anda mengetahui perkara-perkara seperti berikut sebelum berani membayar dan membelinya untuk dijadikan koleksi.
- Jumlah nombor prefix atau tahun keluaran
- Variasi asli dan kemungkinan kewujudan jenis palsu
- Para numismatis yang memilikinya/menjualnya
- Harga pasaran mininum dan maximum
Sekiranya anda tidak tahu dan belum memiliki/mengetahui maklumat tersebut di atas tetapi ingin memilikinya, nasihat saya cubalah mendapatkan daripada kedai (premis tetap).
Kebanyakan para numismatis yang memiliki kedai di Malaysia sebenarnya orang lama di dalam dunia numismatik. Mereka juga mampu membantu anda untuk kirimkan/poskan item anda jika anda telah membayar penuh. Cuma harga menjadi persoalan tetapi anda masih boleh bincang dan menawar.
Sebagai pendatang baru, jangan kejarkan sesuatu item umpama "tiada esok lagi". Kebanyakan item numismatik tidak kemana-mana pun sebenarnya. Ianya hanya berpusing di dalam komuniti numismatis. Jika bukan hari ini, esok lusa masih berpeluang untuk memilikinya. Jika sudah ada rezeki dan jodoh, tak akan lari ke mana pun.
Pendek kata mendapatkan koleksi numismatik umpama memancing ikan juga. Penantian dan kesabaran sentiasa menjadi perkara penting dan penggelaman menjadi modal pegangan untuk berani mengeluarkan kos. Penelitian dan ilmu mampu menghindarkan kita daripada ditipu.
Item yang menjadi pupus sebenarnya adalah item yang masih ada di dalam edaran. Kejarlah item di dalam edaran sebelum ianya 'terhakis' dari kuantiti "normal" sehingga menjadi "jarang" disebabkan oleh edaran dan aliran masa. Paling penting ianya mampu dimiliki dengan kos serendah nilai muka.
Harap perkongsian kali ini mampu menyedarkan anda dan menghindarkan anda daripada prefix NY dan sama waktu dengannya. Jangan nanti ada pula daripada anda terbeli dan terpaksa menjualnya untuk mendapatkan modal dan akhirnya menghitung hari disebalik tirai besi.
Salam numismatik