29 Mei 2018

Menukar mata wang : Cadangan Rakyat atau cadangan Perdana Menteri?

Home 


Saya mengikuti rapat dengan perkembangan isu-isu semasa sejak Pakatan Harapan memenangi pilihanraya umum yang ke 14. Banyak perkara yang dikongsikan dan ditularkan di dalam laman sosial biarpun kesahihannya tidak pasti mahupun ianya adalah "berita palsu".

Salah satu berita yang sedang ditularkan adalah berkait "cadangan untuk menukar mata wang RM10,RM20,RM50 dan RM100". Berita ini ditularkan bersama dengan beberapa gambar mata wang baru.
Salah satu posting yang ditularkan di laman sosial.
Sebagai seorang numismatis dan penulis berkait numismatik Malaysia, saya terpanggil untuk menyiasat dan menulis tentang penularan  ini agar para pembaca mendapatkan sedikit maklumat berkait berita yang sedang diviralkan di dalam laman sosial.


Nota: Berikut adalah siasatan peribadi saya dan tolong membetulkan sekiranya ada sebarang fakta lain.

 

Pada 26 May 2018, seorang gadis telah menulis satu cadangan di dinding facebooknya. Tulisan tersebut telah dikongsi dan telah di "copy paste" oleh ramai pengguna lain di laman masing2.




Setelah beberapa hari ianya menular di facebook dan whatapp, akhirnya berita tersebut kini telah mula berubah rupa dan isi kandungannya. Pada asalnya ianya adalah cadangan daripada rakyat kepada Tun Mahathir tetapi kini ianya telah diubah umpama ianya adalah cadangan Tun Mahathir kepada negara.
 

Berita tersebut di atas disertakan dengan beberapa gambar mata wang RM5, RM10 dan RM1000 seperti berikut.



Sumber gambar & berita1
Sumber gambar & berita 2 

Wang kertas di atas adalah rekaan konsep mata wang yang direka oleh pereka  Mu'az Muhammad semasa beliau menuntut di Universiti Sains Malaysia. Grafik rekaan tersebut telah dimuat naik ke laman facebooknya pada Julai 2015.

Saya rasa Mu'az Muhammad sendiri telah memadamkan atau mengeluarkannya daripada laman facebook beliau sebab saya gagal untuk menemuinya di dalam pencarian saya.


MENUKAR MATA WANG BAHARU

Sesuatu negara  biasanya akan menukar mata wang mereka apabila ada keperluan dan kepentingan untuk menyerapkan ciri-ciri keselamatan terkini mengikut arus perubahan teknologi.

Menukar mata wang  juga merupakan salah satu proses yang akan menelan kos yang tinggi. Maka ianya tidak boleh dilakukan sesuaka hati kecuali ada kepentingan  yang perlu dipertengahkan demi keselamatan dan kestabilan ekonomi negara.

Apakah benar kerajaan perlu menukar RM10 dan RM20 seperti  yang dicadangkan di dalam berita yang menular tersebut? 

Sila lihat sendiri hakikat sebenar mata wang Malaysia di dalam edaran pada 31 Disember 2017. 

Berikut adalah jumlah nilai wang kertas di dalam edaran mengikut denominasi pada suku keempat (31hb Dis) 2017.

Jumlah Wang Kertas di dalam edaran pada
Denom
30-Jun-17
31 Dis 2017*
RM 1
2,602,069,607
2,262,153,320
RM 2
125,942,030
125,832,010
RM 5
2,312,655,950
2,014,247,235
RM10
5,930,448,520
5,165,623,370
RM20
2,862,364,960
2,815,266,800
RM50
46,373,463,300
44,811,091,815
RM100
41,882,436,875
43,075,894,425
RM500
74,746,500
74,749,500
RM1000
24,447,000
24,429,000
Total  RM
102,188,574,742
100,369,287,475
*Pelarasan Tunai dalam transit.

(Senarai di atas adalah jumlah wang kertas termasuk semua siri sejak Bank Negara Malaysia mula mengeluarkan mata wang pada tahun 1967.)

Cukup jelas di mana mata wang RM1, RM5, RM10 dan RM20 bukanlah pilihan yang tepat sebab denominasi kecil dan pertengahan tersebut tidak wujud di dalam jumlah yang besar. Masing-masing hanya wujud di dalam jumlah RM2 hingga RM5 billion sahaja berbanding RM50 dan RM100 sekitar RM43 billion dan RM45 billion.

Oleh yang demikian, sekiranya kerajaan ingin mengambil keputusan untuk menukar siri (reka bentuk) mata wang  terkini kepada yang terbaharu atas alasan keselamatan dan kestabilan ekonomi untuk mengesan simpanan beku di dalam rumah oleh pihak-pihak tertentu maka denominasi RM50 dan RM100 adalah pilihan yang tepat.

Jika benar kerajaan ingin mengambil tindakan sedemikian sekalipun, saya pasti kerajaaan tidak akan bincangkan isu seperti ini secara bebas di laman sosial. Sepatutnya ianya dirahsiahkan daripada pengetahuan awam demi keberkesanannya.

Saya meramalkan mata wang siri ke 5 (BNM) baharu akan mengambil tempat sekitar pada tahun 2022-2025 dan ini bermaksud rakyat perlu menunggu minimum 4 tahun lagi untuk melihat mata wang siri baharu.

Sebagai seorang numismatis tempatan, kita (semua numismatis) sama-sama memikul tanggung jawap untuk memberi penerangan dan kesedaran kepada semua pengguna di luar sana.

Semoga perkongsian kali ini mampu memberikan petunjuk sebenar berkait "mata wang baru" yang sedang ditularkan di dalam laman sosial.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...