23 November 2019

Fakta Numismatik : Tanda Tangan "AISHAH"




Ramai rakyat Malaysia sebenarnya tidak tahu apa yang wujud pada wang kertas Malaysia. Mereka juga tidak ingin ambik tahu semua itu selagi wang kertas yang mereka miliki adalah asli dan boleh diguna pakai tanpa sebarang masalah.

Salah satu perkara yang dimiliki oleh semua wang kertas Malaysia adalah tanda tangan gabenor BNM pada muka depannya. Tanda tangan pada wang kertas akan berubah apabila gabenor BNM berubah. Ramai juga rakyat Malaysia tidak tahu akan fakta tersebut.

Kini, tahun 2019, kita mampu dan "sering" berjumpa dengan 3 tanda tangan berbeza pada wang kertas Malaysia. Iaitu tanda tangan TS Dato Dr.Zeti Aziz,  Dato' Muhammad Ibrahim dan Datuk Nor Shamsiah. Selain dari itu, kita masih boleh jumpa (tapi sudah jarang-jarang) tanda tangan TS DS Ali Abul Hassan dan TS Dato Ahmad Mohd don.


Berikut adalah senarai gabenor BNM sejak penubuhannya sehingga kini (2019)

 
Jika diperhatikan dengan teliti, tiada nama "AISHAH" yang wujud di dalam senarai  di atas.

Nama "AISHAH" sering kedengaran di dalam dunia numismatik tempatan terutamanya oleh pendatang baru. Mereka sering memaksudkan suatu tanda tangan pada wang kertas keluaran Bank Negara Malaysia sebagai tanda tangan "AISHAH".

Sebenarnya siapa "AISHAH" tersebut? . Benarkah tanda tangan pada wang kertas tersebut adalah milik si "AISHAH" yang mereka maksudkan. Ayuh kita sama2 membongkarkan kisah dan fakta yang berkaitan dengan misteri yang sebenarnya bukan misteri.



Berikut adalah tanda tangan Tan Sri Ali Abul Hassan (AAH).

Tanda tangan TS Ali Abul Hassan
Jika diperhatikan betul-betul, tanda tangan Ali Abul Hassan (AAH) kelihatan seperti "Aishah" dan wang kertas yang memiliki tanda tangannya memasuki edaran pada tahun 1999.

RM2 AAH siri 9 (tanda tangan tepi) dan siri 10 (tanda tangan tengah)
Denominasi RM2 dan RM10 telah merasmikan Wang kertas siri 9 dengan memasuki edaran pada bulan Januari 1999 dan diikuti oleh RM50 dan RM100 pada bulan Jun 1999.

Denominasi RM5 telah merasmikan Wang Kertas Siri 10 dengan memasuki edaran pada 27 September 1999 dan diikuti oleh RM2, RM10, RM50 dan RM100 pada 13 November 1999.

Tan Sri Dato Seri Ali Abul Hassan hanya menduduki kerusi gabenor selama 2 tahun iaitu bermula September 1998 hingga April 2000. Pada jangka masa itulah tanda tangan beliau dicetak pada wang kertas Malaysia dan telah diedarkan di dalam edaran.




Berikut adalah kisah bagaimana nama Aishah berkait dgn tanda tangan Ali Abul Hassan.
Yang Amat Mulia Permaisuri Siti Aishah

Yang Amat Mulia Permaisuri Siti Aishah
merupakan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong XI 
(26 April 1999 - 21 November 2001)

Ketika itu (1999-2001) nama Permaisuri Agong sering kedengan di TV dan selalu tertulis pada dada surat khabar tempatan. Di dalam edaran pula wujud wang kertas dengan tanda tangan baru maka tanda tangan itu difikirkan tanda tangan Permaisuri Siti Aishah.

Sehingga ke hari ini, ramai rakyat Malaysia masih tidak tahu siapa yang menanda tangani wang kertas Malaysia. Ada sebahagian dari mereka masih memikirkan ianya ditanda tangani oleh Agong, Permaisuri Agong, Perdana Menteri, Ahli Politik dan Ahli Korporat.

Pada era 2000 masih belum memiliki telefon pintar Anroid mahupun wifi. Pendek kata, Malaysia masih pada peringat awal di mana  GPRS sedang diuji oleh Celcom dengan kelajuan 56k.  Oleh yang demikian, tiada teknologi maklumat sehebat hari ini untuk kita berkongsi maklumat. 

Segalanya bergantung pada TV, Radio dan media cetak sahaja. Nak msg? boleh saja tetapi 30 sen setiap SMS jika guna postpaid dan 60sen untuk pengguna prepaid. Maka perbualan di kedai kopi memainkan peranan penting di dalam penyebaran berita ketika era itu.

Perbualan dan perkongsian di kedai kopi ketika dulu sama hebat dengan perbualan dan perkongsian kita di facebook dan whatsapp pada hari ini. Di mana semua ahli kedai kopi akan bercakap seperti tahu dan faham segalanya. Era tanpa pakcik "google" untuk mendapatkan kepastian.

"Tanda tangan nampak seakan Aishah, ketika itu Raja Permaisuri pun Aishah, maka ahli mesyuarat kedai kopi telah membuat kesimpulan bahawa tanda tangan pada wang kertas biasanya Agong yang 'Sign' dan kali ini Raja Permaisuri  pula yang 'Sign'."

Maka begitulah terwujudnya al-kisah penyebaran tentang tanda tangan AISHAH. Harap para pembaca dapat sedikit sebanyak pencerahan tentang nama misteri "AISHAH" yang sering kedengaran di dunia numismatik.

RM1 Jaffar Siri 6

Ramai di luar sana mendengar akan kisah RM1 "Sign" Aishah boleh dijual dengan harga sangat tinggi. Mereka tidak tahu mana satu tanda tangan Aishah dan mencuba nasib dengan menjual RM1 Jaffar Siri 6 dengan harapan mampu memiliki ribuan ringgit. RM1 Jaffar siri 6 dengan nombor siri biasa hanya bernilai RM3-5 sekeping untuk kondisi UNC.

RM1 AAH (Ali Abul Hassan) Nilai numismatiknya telah mencapai ribuan ringgit untuk kondisi UNC.
RM1 Tanda Tangan Aishah (RM1 AAH)  ini sebenarnya adalah wang kertas yang tidak diedarkan oleh pihak BNM atas sebab kesilapan percetakan. Ianya tersalah lepas ke dalam edaran dan jumlah yang dapat diselamatkan oleh pengumpul adalah sangat sedikit. Anda boleh membaca tentang  kisah RM1 AAH di sini.

Semoga dengan adanya tulisan ini, buruan untuk RM1 AAH akan berterusan dan membuahkan hasil. (Jika dah jumpa, jangan lupa untuk hubungi numiscat dan kongsi kejayaan anda).

Terima kasih kepada tuan Ariel Syah dan saya tujukan tulisan ini khas buatnya kerana telah menjadi punca dan sebab kenapa saya menulis posting ini.

P/S: Tulisan ini berdasarkan penggalaman dan fakta yang dimiliki oleh kami, sekiranya anda merasakan ada fakta yang tidak betul dan perlu diperbetulkan, sila hubungi kami. Sumbangan dan teguran membina daripada anda amat dialu-alukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...